Thursday, July 24, 2008

Pandangan Dan Pendapat

Salam sejahtera ,

Dewasa ini, saya dapati permainan tradisional semakin kurang popularitinya. Seperti yang telah saya nyatakan pada pos yang lalu, punca utama berlakunya fenomena ini ialah kerana wujudnya permainan moden yang lebih canggih dan lebih mencabar bagi belia-belia zaman sekarang. Namun, adakah ini satu-satunya punca mengapa perkara ini berlaku?

Menurut pandangan saya, saya juga dapat melihat bahawa satu lagi sebab mengapa permainan tradisional semakin pupus ialah kerana kurang inisiatif daripada pihak-pihak yang bertanggunggjawab untuk melestarikan permainan sebegini. Mungkin, mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata dan lantas, enggan mengambil risiko untuk menjual permainan sebegini. Pihak-pihak berkenaan hanya mahu menyokong usaha menjual permainan-permainan yang lebih menjanjikan keuntungan yang berlipat ganda seperti permainan baharu. Sebagai contoh, permainan psp, xbox, ps3 dan wii.

Saya juga berpendapat bahawa permainan tradisional ini kurang diberi perhatian kerana kurang dorongan daripada pihak sekolah dan juga ibu bapa. Padahal, merekalah yang mempunyai lebih pengalaman bermain permainan seperti ini. Keengganan mereka menceritakan keseronokan pengalaman mereka bermain permainan seperti ini membuat para belia berfikiran negatif terhadap permainan tradisional.

Tidak dilupakan, media massa juga mempunyai peranan yang penting memperkenalkan permainan-permainan tradisional kepada anak-anak muda. Sebagai contoh, stesen suria misalnya boleh mengadakan rancangan-rancangan yang berkaitan dengan budaya melayu, lantas secara tidak langsung boleh menyelitkan informasi yang berguna tentang permainan tradisional. Stesen radio ria juga boleh memainkan peranan dengan mengadakan rancangan interaktif dengan pelajar tentang permainan Melayu. Saya pasti ini akan membantu permainan tradisional untuk terus berkembang dan tidak pupus dari zaman ke zaman.

Dari itu, untuk melestarikan dan merealisasikan impian murni ini, saya percaya bahawa semua pihak harus menggembleng tenaga dan memberikan sokongan padu. Tanpa usaha, saya pasti keinginan kita tidak akan tercapai. Bak pepatah, usaha itu adalah tangga kejayaan. Oleh yang demekian, saya amat berharap bahawa anda semua akan memainkan peranan masing-masing, termasuk diri kita sendiri!


Sekian, terima kasih.


atikahs

No comments: